Alasan Bersih untuk teruskan himpunan esok

Posted by bosz Friday 9 November 2007

Alasan Bersih untuk teruskan himpunan esok

Berikut ialah antara alasan mengapa Bersih mahu meneruskan himpunan 100,000 rakyat esok.

Bersih yang menggabungkan 67 badan bukan kerajaan berdaftar menggariskan enam alasan bagi merayu pihak polis meluluskan permohonan permit untuk mengadakan perhimpunan aman di Dataran Merdeka, esok.

Surat rayuan yang ditandatangi Sivarasa Rasiah dihantar kepada Ketua Polis Kuala Lumpur, Zulhasnan Najib Baharuddin.

Lima alasan rayuan Bersih itu adalah:

1. Permohonan permit telah dibuat oleh Bersih sebagai satu gabungan yang dianggotai oleh 67 badan-badan berdaftar termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan lima parti politik. Senarai semua pertubuhan ini telah pun dikemukakan. Tambahan pula, tiga orang individu iaitu Anuar Tahir, Sivarasa Rasiah and Liew Chin Tong sebagai ahli jawatankuasa induk BERSIH telah pun menandatangani permohonan tersebut.

Bagaimanapun, bagi memastikan perkara ini tidak menjadi satu halangan untuk permohonan ini, salah satu pertubuhan dalam gabungan BERSIH iaitu Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) sanggup menggantikan BERSIH sebagai pemohon. Kami melampirkan di sini surat pengesahan daripada Parti Keadilan Rakyat.

2. Berkenaan dengan alasan bahawa tidak ada surat kelulusan daripada tuan punya tapak, Bersih berpendapat bahawa Dataran Merdeka adalah satu tempat umum yang diakses oleh orang umum pada bila-bila masa. Ia tidak boleh disamakan dengan bangunan atau dewan yang dimiliki oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Tambahan pula, Dataran Merdeka adalah hanya kawasan bagi mengumpulkan orang ramai sebelum berarak ke Istana Negara. Pihak Bersih juga telah memaklumkan program ini kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur secara bertulis dan ini adalah dalam pengetahuan pihak polis.

3. Berkaitan dengan alasan bahawa ada program lain di tapak itu pada hari itu, pihak Bersih dimaklumkan bahawa program tersebut hanya bermula pada jam 4.30 petang. Ini telah dimaklumkan kepada pihak polis dan pihak kami memberi jaminan bahawa perhimpunan kita akan beredar keluar dari Dataran Merdeka sebelum 4.30 petang.

Dengan kerjasama polis trafik, kami akan memastikan bahawa kehadiran peserta di persekitaran Dataran Merdeka tidak akan mengganggu apa jua program yang akan bermula pada 4.30 petang tersebut. Kami juga dimaklumkan bahawa program tersebut (satu progam kebudayaan) adalah terbuka kepada orang awam dan peserta kita juga berhak menyaksikan dan menhayatinya.

4. Dari maklumat yang diperolehi pihak kami, terdapat kumpulan tertentu akan mengambil kesempatan menimbulkan keadaan tidak tenteram dan tidak selamat kepada orang awam yang menyertai perhimpunan tersebut. BERSIH telah memberi jaminan kepada pihak polis akan menyediakan 300 petugas atau 'marshals' yang akan memastikan peserta dalam perhimpunan aman kami berhimpun dan berarak secara aman dan teratur tanpa menggangu ketenteraman dan keselamatan kawasan itu.

Kami mengalu-alukan kehadiran pihak polis berpakaian seragam dalam jumlah yang sesuai supaya bersama dengan kami dengan jarak yang wajar bermula dari Dataran Merdeka sehingga ke Istana Negara. Sekiranya ada kumpulan tertentu yang ingin melakukan kekacauan, kami anggap adalah tanggung jawab dan tugas polis untuk mengawal keadaan dan memastikan mana-mana orang atau kumpulan ini ditahan daripada melakukan perkara yang tidak diingini.

Sekiranya polis ada maklumat dalam tangan mengenai kumpulan tertentu ini, polis harus mengumumkan nama dan identiti mereka dan memberi amaran kepada mereka bahawa polis akan bertindak sekiranya mereka melakukan kekerasan atau tindakan yang menimbulkan kekacauan.

5. Bersih berpendapat bahawa alasan kelima yang diberi iaitu perhimpunan kami akan menimbulkan gangguan laluan lalu lintas tidak wajar dan perlu dikaji semula. Adalah ternyata bahawa mana-mana perhimpunan dan perarakan baik sederhana atau besar boleh sedikit sebanyak menganggu laluan lintas. Jadi sekiranya ini digunakan sebagai alasan, ia akan memusnahkan hak berhimpun.

Sepertimana yang disebutkan di atas, Bersih akan memastikan perarakan ini teratur dan aman. Gangguan kepada laluan lalu lintas mampu dikurangkan setakat yang boleh dan memerlukan kerjasama pihak polis trafik sepertimana yang kita lihat dalam kebanyakan perarakan besar di luar negara kita. Pendekatan ini boleh menjamin perlindungan yang perlu bagi hak asasi berhimpun dan berarak secara aman sambil memastikan gangguan yang minima kepada penggunan laluan lalu lintas.

6. Alasan keenam yang diberi oleh Tuan Ketua Polis Daerah adalah bahawa perhimpunan kami akan menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam. Alasan ini tidak memberi apa jua butiran dan tidak berasas. Kami mengulangi dengan tegas apa yang disebut di atas di perenggan (d) dan (e).

0 comments

Pengunjung

Kawan Kawan Bosz